Friday, November 2, 2018

HA, BERHENTI KERJA?

Hatiku sakit dan pedih.

Entah sudah berapa kali aku terpaksa mendengar kata-kata sinis dan pandangan mata yang amat menyakitkan hatiku.

"Ha, berhenti kerja?"
"Rugi je belajar tinggi-tinggi."
"Habis tu sekarang, duduk rumah je lah?"
"Nak jaga anak sendiri?Orang lain tu boleh je kerja dan hantar anak pada orang lain..OK je?"
"Dah berhenti ni buat apa je lah?"

Tidak mampu ku ingat semula satu demi satu kata-kata yang dilemparkan.
Di saat aku mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga sendiri anakku yang ketika itu
berusia 2 tahun, tidak ramai yang menyokong.
Rata-ratanya memberikan komen yang langsung tidak memberi sokongan kepadaku.

Ya, aku tinggalkan gaji 4 angka yang sangat selesa.
Aku tinggalkan itu semua kerana aku tidak mampu memperjudikan nasib anakku di tangan
orang lain.
Sudah beberapa kali banyak kejadian yang cukup membimbangkan aku dan suami terjadi pada anakku.
Dan kami, tidak mampu bertahan lagi.

Tidak kira walaubagaimanapun aku cuba terangkan kepada orang lain, rata-ratanya mereka tidak mahu menerima dan memahami.
Hanya bonda yang tahu dan merasai gejolak perasaanku waktu itu.
Pada bonda aku luahkan segalanya.
Hanya itulah kekuatanku.

Thursday, November 1, 2018

PUAN CAHAYA...

Pagi itu, awal-awal lagi kami sekeluarga bersiap-siap untuk ke Workshop Faham Al-Quran di Kajang.

Aku sangat teruja untuk mengetahui apakah ilmu baru yang akan aku perolehi di dalam program itu.Hanya aku seorang yang menyertainya memandangkan kanak-kanak tidak sesuai untuk turut serta.
Suami hanya menunggu di luar sambil menjaga anak-anak yang masih kecil.

Tidak lama selepas kami tiba, aku melihat seorang wanita baru tiba bersama suami dan anaknya yang masih bayi.Beliau mengeluarkan banyak Al-Quran dari dalam keretanya.
Aku tidak mengenali siapa beliau ketika itu.
Hanya memandang dari jauh melihat raut wajah wanita yang bagiku amat memberikan ketenangan bagi sesiapa yang memandang.

Setelah masuk ke tempat workshop dijalankan, barulah aku tahu bahasa wanita yang ku lihat tadi itulah Puan Cahaya yang akan memberikan tunjuk ajar di dalam kelas itu nanti.
Aku kagum dengan semangatnya.
Walaupun mempunyai bayi yang masih sangat kecil,beliau tetap gigih menyampaikan ilmu Al-Quran.

Bagiku,semangat beliau memang luar biasa!

Setelah beliau memperkenalkan diri, barulah sedikit sebanyak aku menyedari betapa kecintaan wanita hebat ini terhadap Al-Quran sangat tinggi.
Setiap tutur kata perkongsian pengalamannya dengan Al-Quran banyak membuat aku merenung diri, di mana kedudukan AL-QURAN di hatiku selama ini.

Tidak aku sangka, wanita itulah yang suatu hari nanti akan meembantu aku untuk bangkit kembali setelah melalui jalan kepayahan dan kejatuhan hingga aku rasa tidak berdaya untuk bangun lagi.

DIA TIDAK PERNAH MENINGGALKAN AKU!


Hari itu, aku sempat mendengar tausiyah Ustaz Hanan Attaki di Youtube.
Hatiku benar-benar tersentuh dengan kupasan ustaz mengenai Surah Ad-dhuha.

Ad-dhuha.
Surah ke 93.
Berada di Juzuk ke 30 dan mempunyai 11 Ayat.

Surah ini benar-benar memberikan inspirasi kepadaku bahawa betapa
ALLAH Ya Barr adalah Tuhan yang Maha Baik.

Aku sangat terkesan apabila membaca ayat ke 3 dalam surah ini.

"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau(Muhammad) dan tidak pula membencimu."

Ia menjadi ayat pujukan yang sangat-sangat memberi kedamaian jiwa.

ALLAH sekali-sekali tidak akan meninggalkan kita, hambaNYA walau bagaimanapun keadaan kita.

Ayat ini ku pasakkan di hati, ku ingat dan hadam berkali-kali agar aku benar-benar yakin dan beriman dengan apa yang disampaikan olehNYA.

Di saat aku berasa susah atau sedih tentang sesuatu perkara, ayat ini sentiasa menjadi kekuatan.
Di saat aku tersasar melakukan kesalahan, ayat ini juga yang menjadi pedoman.

Aku tahu Tuhanku tidak pernah meninggalkan aku,
hanya aku yang sering menjauh dariNYA.

Aku tahu Tuhanku sentiasa bersama walau di mana sekalipun aku berada.
Diri ini sentiasa dalam perhatianNYA dan tidak pernah sesaat pun DIA leka.

SAHABAT BARU

Bismillah...

Setiap hari, apa yang aku lakukan adalah pergi ke post-post FB Puan Cahaya.
Aku membaca postingnya hampir setiap hari.
Sungguh banyak ilmu-ilmu tentang AL-QURAN yang aku perolehi di situ.

Puan Cahaya tidak pernah jemu berkongsi ilmu.
Setiap hari, pasti akan ada perkongsian beliau yang membuatkan hati terasa semakin ingin dekat  dan lebih memahami Al-Quran.

Dari situ jugalah aku mula mengenali satu demi satu sahabat-sahabat baru.
Kebanyakannya adalah anak-anak didik Puan Cahaya.
Aku mula mengenali mereka seorang demi seorang.
Hanya berhubung di Facebook atau Whatsapp tanpa pernah bersua muka.

Di antara sahabat-sahabat awal yang aku kenali waktu itu adalah
Puan Waridah Lothpi,
Puan Nazliana Abu Naem dan
Puan Ija Abdullah

Aku sentiasa mengikuti segala perkembangan mereka hanya melalui FB kerana ketika itu,
hanya itu yang mampu aku lakukan.

Aku mengenali mereka, namun mereka tidak mengenaliku.
Tapi aku terus mengikuti mereka kerana aku sudah berazam untuk turut menjadi
Pencinta Al-Quran bersama mereka di bawah didikan Puan Cahaya.

PERNAH KHATAM TERJEMAHAN AL-QURAN?

" Siapa pernah khatamkan terjemahan Al-Quran?"

Masih segar di ingatanku pertanyaan Puan Cahaya di hujung sesi Workshop Faham Al-Quran itu.

Aku tersentak.

Khatam terjemahan?Perlu ke?

Tidak pernah aku terfikir untuk khatamkan terjemahan di dalam bahasa ibunda sendiri.
Setahun sekali di bulan Ramdhan, itu sajalah yang aku cuba sedaya upaya untuk khatamkan bacaan dalam Bahasa Arab sahaja.Itu pun, selalunya tidak mampu untuk khatam 30 juzuk.

Inikan pula untuk khatam terjemahan.
Memang tidak pernah terlintas di fikiran.
Bukan tidak mahu, tapi tidak tahu!
Tidak pernah tahu kepentingan untuk khatamkan bacaan terjemahan.

Seingat aku, hampir kesemua peserta Workshop pada hari itu tidak mengangkat tangan terhadap soalan Puan Cahaya itu.
Maksudnya, ramai yang sama dengan aku.
Tidak pernah khatam terjemahan Al-Quran walaupun telah lebih 30 tahun hidup di muka bumi Allah ini.

" Jika tuan-tuan dan puan-puan belum pernah khatam, saya sangat sarankan untuk anda semua berusaha khatamkan terjemahan ini dari kulit ke kulit. "

Pesan Puan Cahaya.

Aku tunduk.

Terdiam memikirkan betapa selama ini aku hanya membaca Al-Quran, namun tidak cuba membaca dan  memahami terjemahannya dalam bahasa ibundaku sendiri.


MESEJ DARI FATIHA

Bismillah...

Aku masih ingat petang itu.

Di saat aku duduk sendirian, masuk satu mesej di telefon.
Ia dari sahabat mayaku, Fatiha.
Kami tidak pernah bertemu muka, hanya selalu berbual di WA.
Dia sahabatku di dalam group ibu-ibu yang sering saling bertukar cerita.

"Mahu hadir ke kelas Faham AL-QURAN?"
"Ada tajaan untuk suri rumah."

Itulah pelawaan dari Fatiha yang menjadi PEMBUKA kepada
SINAR BARU dalam hidupku.

Aku tidak fikir panjang.
Hanya menerima pelawaan itu.
Aku fikir, lebih baik aku keluar untuk mendapatkan ilmu daripada terus
bersedih melayan segala emosi derita yang ku rasai.

Sungguh, aku tidak tahu.
Rupanya, itulah satu titik perubahan yang besar dalam hidupku.
Ia hadiah dari Tuhanku.
Melalui sahabat yang langsung tidak pernah aku ketemu.




SEGALANYA SEMPIT

Bismillah...

Dadaku benar-benar rasa sesak!
Ujian demi ujian seperti datang menembak dari segenap sudut.
Hingga aku merasakan terlalu sempit kehidupan ini.
Aku tidak nampak di mana kebahagiaan.

Segalanya ku rasakan gelap.

Hubungan keluarga yang sentiasa berantakan.
Ikatan persahabatan yang penuh duka sengketa.
Kewangan yang sentiasa sesak.
Masalah demi masalah bertimpa umpama tiada henti.
Aku lelah wahai Allah...
Benar-benar aku lelah tidak berdaya.

Hingga aku merasakan untuk apa hidup ini?
Bukankah lebih baik aku mati?
Sendirian aku menangisi derita diri.

Terasa seperti tiada siapa yang memahami aku walau suami sentiasa
sabar di sisi,
Kasihan anak-anak yang masih tidak memahami.
Hanya melihat juraian air mata dan pergolakan emosiku yang tiada henti.


BIODATA PENULIS

Mahfuzah Binti Mahmud dilahirkan pada 8 Julai 1981 di Mentakab Pahang.

Anak ke 3 daripada 4 beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Oita, Jepun.

Pernah menjadi Guru Bahasa Jepun di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya selama 6 tahun sebelum mula mengambil amanah sebagai suri rumah sepenuh masa sejak Oktober 2013.

Pada penghujung 2015, beliau mula aktif mempelajari Teknik Faham Al-Quran tanpa Asas Bahasa Arab (Modul Akademi Cahaya).

Kemudian, pada September 2017 beliau seterusnya menjadi Trainer Bertauliah Teknik Faham
 Al-Quran tanpa asas Bahasa Arab sebelum semakin serius di bidang ini dengan menjawat jawatan sebagai Pengurus Akademi Cahaya yang di asaskan oleh Guru Al-Quran beliau,
Puan Cahaya Norhaini Sulaiman.

Kecintaan yang mendalam terhadap ilmu Faham Al-Quran telah membawa beliau untuk terus mendalami ilmu mukjizat agung ini.Kini, beliau sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Al-Quran dan Sunnah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Matlamat hidup beliau adalah untuk terus mendalami, memahami dan menyebar luaskan keindahan dan keagungan kalam Allah SWT ini kepada seramai mungkin masyarakat di luar sana agar hidup kita semua sentiasa dalam bimbingan dan rahmat ALLAH SWT.