Friday, December 7, 2018

AKU BAHAGIA MENJADI GURU.

Sangat bahagia.

Ya, itulah perkataan terbaik yang mampu aku ungkapkan untuk menggambarkan kehidupanku sebagai seorang guru.Bertugas dari pagi ke petang atau ada tikanya hingga ke malam hari bukan satu beban pada diriku. Aku sangat seronok dan gembira melalukannya.Jiwaku terasa sungguh terisi setiap kali masuk ke kelas dan dikelilingi oleh para pelajar.Melihat wajah-wajah mereka yang tersenyum gembira setiap kali dapat memahami sesuatu pelajaran baru adalah kebahagiaan buatku.

Apatah lagi aku mengajar subjek Bahasa Jepun yang sangat aku minati sejak di zaman universiti lagi.Setiap hari, aku belajar daripada guru-guru senior mengenai teknik pengajaran yang lebih berkesan untuk memantapkan skill pengajaranku di dalam kelas.Dikelilingi senior-senior yang baik sama ada dalam kalangan guru tempatan mahupun guru dari Jepun benar-benar membuatkan aku menikmati hari-hari tugasku dengan penuh keceriaan.Langsung tidak terasa masa berjalan.

Waktu itu aku masih belum berkahwin.Jadi, aku memanfaatkan masaku sepenuhnya untuk kerjaya.Aku banyak bekerja lebih masa untuk menyelesaikan tugasan atau mengadakan kelas-kelas tambahan untuk membantu pelajarku.Ada kalanya, aku mengadakan sesi kaunseling bagi membantu mereka yang yang mempunyai masalah dalam pelajaran.Hubungan yang rapat di antara aku dan para pelajar membuatkan aku sangat sayangkan kerjayaku ini.

Aku mendedikasikan hidup zaman bujangku di sini sehingga aku berkahwin pada awal 2010 dan melahirkan anak sulongku, Aisya Safiyya pada pertengah tahun 2011.Aku tetap meneruskan kerjayaku biarpun sukar untuk aku meninggalkan anak yang masih kecil di tangan orang lain sewaktu keluar bekerja.Namun,komitmen terhadap keluarga dan cinta yang mendalam terhadap kerjaya ini membuatkan aku tetap meneruskan kerjayaku seperti biasa.




Thursday, December 6, 2018

POHON YANG KUAT DAN TEGUH.

Manusia dan kata-kata adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.Setiap hari,entah berapa ratus ribu perkataan yang kita tuturkan daripada anugerah lidah dan mulut yang dipinjamkan Allah SWT ini.

Sebelum aku hidup bertemankan Al-Quran, aku kurang berfikir sebelum berkata-kata.Apa yang keluar dari mulutku ini banyak dipengaruhi oleh emosiku.Bagiku, apa yang penting hati ini puas apabila dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati.Tidak kiralah ia perkataan yang baik atau tidak.

Kata-kata ini bukan sekadar kata-kata terhadap orang lain.Malah, apa yang lebih menyedihkan adalah kata-kata terhadap diri sendiri.Sewaktu aku mula hanyut dalam kehidupan sebagai suri rumah, aku sentiasa hilang keyakinan diri dan merasakan hidup ini sangat membosankan.

Aku tidak pandai.
Aku suri rumah yang tidak berduit.
Aku hanya hidup menumpang rezeki suami.
Aku tiada kawan yang baik.
Tiada siapa pedulikan aku.
Hidup aku tiada makna.

Hampir setiap hari kata-kata buruk inilah yang berlegar dalam fikiranku.
Lama kelamaan, kata-kata ini benar-benar membunuh "kehidupan" ku.

Namun, aku bersyukur di kala Al-Quran menemaniku,Allah menyedarkan aku dengan firmanNYA ini.

" Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit.

Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka sentiasa ingat.

Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tetap (berdiri) sedikit pun. "

Surah Ibrahim 14: Ayat 24-26

Dengan ayat ini, aku bertemu penyebab kepada punca kegelapan hidupku iaitu kata-kata yang buruk.Di sini juga aku bertemu penyelesaiannya iatu sentiasa berkata-kata dengan kalimah yang baik.

Dengan kata-kata yang baik, barulah kehidupan kita ini akan tumbuh seperti pohon yang kuat dan teguh serta dapat memberi manfaat yang banyak buat orang di sekelilingnya.

ENGKAU AKAN MATI DAN MEREKA AKAN MATI.

" Sesungguhnya engkau akan mati dan mereka (juga) akan mati."

Surah Az-Zumar 39: Ayat 30.

Ayat ini sentiasa akan menjadi benteng buatku setiap kali duji dengan hubungan sesama manusia.Hidup sebagai manusia biasa, sudah pasti kita tidak lari daripada sebarang konflik atau perselisihan faham mengenai sesuatu perkara.Begitu juga apabila kita kadangkala diuji dengan tingkahlaku orang lain terhadap kita.

Jika dahulu, aku mudah untuk mengikut kata hati.Mudah untuk marah berlama-lamaan atau tidak mahu mengalah jika terjadi sesuatu yang tidak disenangi di antara aku dan orang lain.
Namun, kalam Allah ini sangat memberikan kesan kepada hatiku.

Ia membuatkan aku berfikir, tiada gunanya untuk mengikut kata hati.Tiada manfaatnya untuk terus mengeruhkan hubungan sesama manusia.Hidup di dunia ini hanya sementara dan hanya sekejap cuma.Entah esok atau lusa, kita atau dia akan pergi meninggalkan dunia ini.Apa untungnya yang kita mahu bawa ke alam sana jika terus bermusuhan dan menyombong diri dengan insan lain?

Cukuplah kematian sebagai nasihat yang tidak bersuara untuk sentiasa mengingatkan diriku agar tidak membalas apa jua keburukan insan lain.Hati menjadi lebih lapang dan tenang apabila menyedari dan menyakini hakikat bahawa kehidupan ini akan berakhir pada bila-bila masa yang ditentukan Allah.

" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian, hanya kepada Kami kamu dikembalikan."

Surah Al-Ankabut 29 : Ayat 57

Aku mahu kembali kepada tuhanku tanpa membawa apa-apa permusuhan sesama manusia di dunia ini.Mudah-mudahan DIA mengurniakan pengakhirann yang baik buat aku dan kita semua.
Aamin, Ya Mujib.

SEGALANYA INDAH

HARI PERTAMA SEBAGAI SURI

PELAJARKU ADALAH DUNIAKU

EPISOD BARU KEHIDUPAN

Aku lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Oita, Jepun.Namun,sepanjang pengajian di sana, aku tidak pernah langsung meminati subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang pengajianku itu.Aku sekadar belajar untuk memastikan aku lulus dalam setiap peperiksaan semester.
Alhamdulillah, walaupun tiada minat di situ, aku masih boleh mengikuti pembelajaranku sehingga tamat pengajian.

Sewaktu di sana, aku sangat meminati subjek Bahasa Jepun.Sejak berada di tahun 2 universiti lagi, aku sudah menanam azam untuk menjadi guru selepas tamat pengajianku nanti.Tidak ramai yang menyokong hasratku itu.Namun, aku tetap dengan azamku kerana aku tahu untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik, perlu ada minat yang mendalam dan bukan hanya kelulusan akademik semata-mata.

Tamat pengajian pada Mac 2016, aku pulang ke tanah air.Sementara menunggu peluang untuk menjadi guru, aku sempat bekerja di salah sebuah kilang Jepun di Selangor. Tempoh 10 bulan bekerja di dalam pejabat cukup untuk membuatkan aku semakin menyedari bahawa minatku bukan di situ.Aku memang perlu segera terjun ke dunia pendidikan.

Aku kemudiannya memohon jawatan sebagai Guru Bahasa Jepun di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, Allah Ya Razzaq mempermudahkan jalanku untuk ke bidang ini.Aku ditawarkan bekerja di situ dan  pada April 2017, aku memulakan episod baru kehidupanku sebagai seorang Guru Bahasa Jepun.

Aku sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT ini kerana ia adalah cita-cita yang sangat kuidamkan sejak berada di universiti lagi.
Aku sematkan tekad untuk menjadi pendidik yang terbaik dan melaksanakan amanah Allah ini dengan sebaik mungkin.


AKU MULAI HANYUT.

Hari berganti hari.
Minggu beralih minggu.
Beberapa bulan melalui kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa, aku mulai hanyut dengan rutin harianku.

Masaku hanya dihabiskan di rumah bersama anakku Aisya di saat suami keluar bekerja.Aku sudah tidak lagi melakukan sebarang kerja-kerja sampingan di luar.Di rumah, aku hanya menjaga anak dan menguruskan rumahtangga seperti biasa tanpa melakukan sebarang perkara-perkara baru.Aku juga sudah jarang berhubung dengan rakan-rakanku apatah lagi bertemu mereka.Aku seperti hanya hidup dalam dunia sendiri bersama suami dan anakku.

Tanpa aku sedar, corak kehidupan sebegitu sebenarnya sedang "membunuh" diriku sedikit demi sedikit.Lama-kelamaan aku merasakan hidupku begitu bosan dan memenatkan.Setiap kali melihat perkembangan sahabat-sahabat lain di media sosial, hatiku sakit melihat orang lain bebas ke sana sini bergelak tawa bersama rakan di luar.

Tapi aku, hanya di rumah bersama anakku.Tiada teman sekerja untuk berbicara gelak ketawa seperti mereka di luar sana.Di saat rakan-rakanku keluar bersama makan tengahari di mana-mana restoran, aku di rumah terasa seakan jemu dan bosan menghadap masakan sendiri setiap hari.Jiwa mula dipenuhi emosi negatif yang sedikit demi sedikit mengheret aku ke dalam kancah tekanan kehidupan.

Dari detik itu,bermulalah tekanan demi tekanan dalam hidupku sehingga membuatkan aku seperti hilang arah dalam menghadapi hari-hariku.

TAWARAN KERJA DARI ALLAH.

8 Januari 2018.
Tarikh keramat di dalam hidupku.

Waktu itu aku sudah bersiap-siap untuk masuk tidur. Tiba-tiba masuk satu pesanan di Whatsapp dari guru Teknik Faham Al-Quran saya, Puan Cahaya.

" Salam puan, saya mahu tawarkan peluang kepada puan untuk berkhidmat bersama Akademi Cahaya. "

Aku membaca ayat itu berkali-kali.Terasa tidak percaya dengan apa yang aku baca.
Benarkan apa yang aku baca ini? Tidak bermimpikah aku? Layakkah aku yang sedang merangkak untuk hidup bersama Al-Quran ini untuk bersama-sama Akademi Cahaya?Mampukah aku?

Ah, banyak benar persoalan yang bermain di fikiranku waktu itu.Hati melonjak-lonjak gembira untuk menerima walaupun bercampur baur kerisauan di dada.Aku nyatakan hal itu kepada suamiku untuk memohon keizinannya.Suamiku memberi keizinan dan turut gembira dengan peluang itu.

Aku tidak ambil masa yang lama untuk memberi jawapan kepada tawaran Puan Cahaya.
Apa lagi yang perlu aku fikirkan apabila ia adalah tugas untuk sama-sama memartabatkan keagungan Al-Quran di dalam kehidupan seramai mungkin masyarakat hari ini?

Sejak mula mempelajari ilmu Faham Al-Quran, memang aku sudah berazam untuk terus akrab dengan Al-Quran sepanjang kehidupanku di dunia ini, InsyaAllah.Aku yakin,berkhidmat di bawah Akademi Cahaya dapat membantu aku untuk terus berusaha istiqamah dengan Al-Quran.

Sungguh, aku merasakan ini benar-benar "tawaran kerja dari Allah" buat diriku melalui Puan Cahaya.
Di saat aku tidak meminta, DIA memberi dengan sifatnya yang Maha Pemurah.
Betapa Allah Maha Baik terhadap hambaNYA ini.
Ia bukan pilihan lagi untuk aku menerima atau menolak, ia adalah perintah yang perlu aku sambut tanpa ragu.

Aku menangis mengenangkan kebaikan Allah terhadapku.
DIA tahu, aku baru saja melepaskan satu pekerjaan sampinganku kerana komitmen masaku terhadap keluarga.Namun, tidak berapa lama saja selepas itu, Allah menghantar tawaran kerja ini kepadaku sebagai ganti yang pastinya jauh lebih baik daripada pekerjaan yang aku lakukan sebelumnya.

Terima kasih Allah untuk rezeki yang tidak ternilai harganya ini.

HIDUP UNTUK MEMBERI KEBAIKAN

Al-Quran sentiasa menyuntik motivasi kepada aku untuk berusaha melakukan sebanyak mungkin kebaikan.Aku cuba untuk menanamkan ke dalam diri bahawa di dalam hidup ini, aku perlu memberi kebaikan kepada insan lain kerana ia adalah perintah daripada Allah SWT.

Di dalam Surah  ayat Allah SWT berfirman,

"Maka berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan."

Setiap hari, aku akan bertanya kepada diriku,

" Apakah kebaikan yang ingin aku berikan kepada insan di sekelilingku hari ini? "

Sedaya mungkin, aku tidak mahu membiarkan hari-hariku berlalu tanpa manfaat kepada orang lain.
Biar sekecil apa pun kebaikan itu, aku tetap berusaha melakukannya kerana aku yakin tiada satu perkara pun yang terlepas dari pandangan Allah SWT walaupun ianya hanya sebesar zarah.

Seperti janji Allah dalam Surah Al-Zazalah 99, ayat 7:

" Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat ( balasannya )."

Terlalu besar ganjaran Allah buat hambaNYA yang melakukan kebaikan.Bayangkan apabila kita melakukan satu kebaikan, Allah yang Maha Pemurah bukan membalasanya dengan 1 malah 10 kali ganda daripada itu.

Di mana janji Allah tentang hal ini?

Janji ini ada pada Surah ke 6, Al-An'am ayat 160. Allah SWT berfirman,

" Barang siapa melakukan kebaikan mendapat balasan 10 kali ganda amalannya."

Aku yakin benar dengan ayat ini.Setiap kebaikan yang dilakukan tidak akan pernah sia-sia di sisi Allah SWT.Biarlah kebaikan itu tidak dipandang manusia, namun selagi ianya berpaksikan kepada perkara yang disukai Allah, Allah pasti mengganjarinya dengan kebaikan yang jauh lebih besar,InsyaAllah.



Saturday, December 1, 2018

AKHIRNYA AKU BERHENTI KERJA.

Jasadku di pejabat.Namun hati dan ingatanku sentiasa terikat kepada anakku, Aisya.Hari semakin hari aku seperti tidak betah meninggalkan anakku di rumah pengasuh.Mungkin kerana setiap hari aku melihat perkembangan tutur katanya yang sudah mula mengambil pengaruh-pengaruh yang aku dan suami tidak begitu selesa mendengarnya.

Suamiku juga kerap termenung di dalam kereta setiap kali meninggalkan anak di rumah pengasuh.
" Abang berat hati sebenarnya mahu tinggalkan anak di dalam jagaan orang lain." katanya.
Walaupun dia tidak pernah meminta aku untuk berhenti kerja, namun ayat itu cukup untuk menggambarkan betapa dia mengharapkan aku sebagai ibu dapat menjaga dan mendidik anak kami sendiri.

Biasanya aku hanya berdiam setiap kali dia menyebut tentang itu.Jujurnya, aku juga ingin menjaga dan mendidik anakku sendiri.Namun,aku takut untuk berhenti kerja mengenangkan komitmen terhadap keluarga di kampung.Aku abaikan perasaan suami walaupun hati aku juga semakin meronta untuk berhenti kerja dan menjaga anakku dengan tanganku sendiri.

Perasaan bersalah terhadap anak dan suami terus menghantui diri sehingga aku sendiri sudah semakin kurang fokus terhadap tugasanku sebagai guru.Aku mulai menghadapi pelbagai masalah di tempat kerja.Satu demi satu cabaran dan ujian di tempat kerja yang cukup berat untuk aku hadapi berlaku seakan tiada henti.

Tiba satu saat di mana aku berdepan dengan satu ujian yang amat berat di tempat kerja hingga aku benar-benar merasakan tempatku bukan lagi di situ walaupun aku sangat cintakan kerjayaku sebagai guru.Aku mengalah dengan keadaan dan mengambil langkah untuk mengundur diri daripada terus berada di situ.

Ya, akhirnya aku berhenti kerja walaupun hatiku belum sepenuhnya bersedia.

JIWAKU RESAH

Waktu itu,puteri sulongku Aisya baru menginjak usia 2 tahun.

Seawal pagi, Aisya yang masih lena aku dukung ke kereta.Aku bersama suami dan anak yang masih kecil itu meredah kesesakan jalan raya untuk ke tempat kerja dan rumah pengasuh anakku.
Tiba di rumah pengasuh, kami tinggalkan Aisya di sana sebelum berpisah haluan ke pejabat masing-masing.Biasanya, Aisya tidak mahu memandang ke arah kami setiap kali ditinggalkan.Dia hanya diam dan berpaling ke arah lain.Tiada lambaian atau keceriaan di wajah anak kecil itu.Begitulah setiap hari.

Aku dan suami sayu setiap kali terpaksa meninggalkannya.Kami tahu dia sedih ditinggalkan.Tapi, apakan dayaku dan suami yang perlu bekerja untuk menampung hidup kami sekeluarga.Kami kuatkan hati dan terus mengharunginya bersama.

Biasanya lewat petang hampir maghrib,barulah kami sampai dari pejabat untuk mengambil Aisya di rumah pengasuh.Tiba di rumah biasanya sudah hampir  jam 9 malam.Ada tikanya, lebih lewat daripada itu.
Badan sudah mulai kepenatan.Minda juga sudah minta direhatkan.Aisya juga sudah mula mahu lena.Tidak jarang juga Aisya sudah tertidur awal di dalam kereta kerana menempuh kesesakan jalan raya yang agak lama.

Begitulah rutin harian kami waktu itu.Setiap hari aku dan suami melaluinya.Tidak rela namun terpaksa.Setiap saat,jiwa kami mulai resah mengenangkan masa untuk kami bersama Aisya teramat terhad.Hampir setiap hari, aku lena dalam perasaan bersalah yang amat meresahkan jiwaku.

Maafkan umi dan abi wahai anakku, Aisya Safiyya.