Friday, December 7, 2018

AKU BAHAGIA MENJADI GURU.

Sangat bahagia.

Ya, itulah perkataan terbaik yang mampu aku ungkapkan untuk menggambarkan kehidupanku sebagai seorang guru.Bertugas dari pagi ke petang atau ada tikanya hingga ke malam hari bukan satu beban pada diriku. Aku sangat seronok dan gembira melalukannya.Jiwaku terasa sungguh terisi setiap kali masuk ke kelas dan dikelilingi oleh para pelajar.Melihat wajah-wajah mereka yang tersenyum gembira setiap kali dapat memahami sesuatu pelajaran baru adalah kebahagiaan buatku.

Apatah lagi aku mengajar subjek Bahasa Jepun yang sangat aku minati sejak di zaman universiti lagi.Setiap hari, aku belajar daripada guru-guru senior mengenai teknik pengajaran yang lebih berkesan untuk memantapkan skill pengajaranku di dalam kelas.Dikelilingi senior-senior yang baik sama ada dalam kalangan guru tempatan mahupun guru dari Jepun benar-benar membuatkan aku menikmati hari-hari tugasku dengan penuh keceriaan.Langsung tidak terasa masa berjalan.

Waktu itu aku masih belum berkahwin.Jadi, aku memanfaatkan masaku sepenuhnya untuk kerjaya.Aku banyak bekerja lebih masa untuk menyelesaikan tugasan atau mengadakan kelas-kelas tambahan untuk membantu pelajarku.Ada kalanya, aku mengadakan sesi kaunseling bagi membantu mereka yang yang mempunyai masalah dalam pelajaran.Hubungan yang rapat di antara aku dan para pelajar membuatkan aku sangat sayangkan kerjayaku ini.

Aku mendedikasikan hidup zaman bujangku di sini sehingga aku berkahwin pada awal 2010 dan melahirkan anak sulongku, Aisya Safiyya pada pertengah tahun 2011.Aku tetap meneruskan kerjayaku biarpun sukar untuk aku meninggalkan anak yang masih kecil di tangan orang lain sewaktu keluar bekerja.Namun,komitmen terhadap keluarga dan cinta yang mendalam terhadap kerjaya ini membuatkan aku tetap meneruskan kerjayaku seperti biasa.




Thursday, December 6, 2018

POHON YANG KUAT DAN TEGUH.

Manusia dan kata-kata adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.Setiap hari,entah berapa ratus ribu perkataan yang kita tuturkan daripada anugerah lidah dan mulut yang dipinjamkan Allah SWT ini.

Sebelum aku hidup bertemankan Al-Quran, aku kurang berfikir sebelum berkata-kata.Apa yang keluar dari mulutku ini banyak dipengaruhi oleh emosiku.Bagiku, apa yang penting hati ini puas apabila dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati.Tidak kiralah ia perkataan yang baik atau tidak.

Kata-kata ini bukan sekadar kata-kata terhadap orang lain.Malah, apa yang lebih menyedihkan adalah kata-kata terhadap diri sendiri.Sewaktu aku mula hanyut dalam kehidupan sebagai suri rumah, aku sentiasa hilang keyakinan diri dan merasakan hidup ini sangat membosankan.

Aku tidak pandai.
Aku suri rumah yang tidak berduit.
Aku hanya hidup menumpang rezeki suami.
Aku tiada kawan yang baik.
Tiada siapa pedulikan aku.
Hidup aku tiada makna.

Hampir setiap hari kata-kata buruk inilah yang berlegar dalam fikiranku.
Lama kelamaan, kata-kata ini benar-benar membunuh "kehidupan" ku.

Namun, aku bersyukur di kala Al-Quran menemaniku,Allah menyedarkan aku dengan firmanNYA ini.

" Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit.

Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka sentiasa ingat.

Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tetap (berdiri) sedikit pun. "

Surah Ibrahim 14: Ayat 24-26

Dengan ayat ini, aku bertemu penyebab kepada punca kegelapan hidupku iaitu kata-kata yang buruk.Di sini juga aku bertemu penyelesaiannya iatu sentiasa berkata-kata dengan kalimah yang baik.

Dengan kata-kata yang baik, barulah kehidupan kita ini akan tumbuh seperti pohon yang kuat dan teguh serta dapat memberi manfaat yang banyak buat orang di sekelilingnya.

ENGKAU AKAN MATI DAN MEREKA AKAN MATI.

" Sesungguhnya engkau akan mati dan mereka (juga) akan mati."

Surah Az-Zumar 39: Ayat 30.

Ayat ini sentiasa akan menjadi benteng buatku setiap kali duji dengan hubungan sesama manusia.Hidup sebagai manusia biasa, sudah pasti kita tidak lari daripada sebarang konflik atau perselisihan faham mengenai sesuatu perkara.Begitu juga apabila kita kadangkala diuji dengan tingkahlaku orang lain terhadap kita.

Jika dahulu, aku mudah untuk mengikut kata hati.Mudah untuk marah berlama-lamaan atau tidak mahu mengalah jika terjadi sesuatu yang tidak disenangi di antara aku dan orang lain.
Namun, kalam Allah ini sangat memberikan kesan kepada hatiku.

Ia membuatkan aku berfikir, tiada gunanya untuk mengikut kata hati.Tiada manfaatnya untuk terus mengeruhkan hubungan sesama manusia.Hidup di dunia ini hanya sementara dan hanya sekejap cuma.Entah esok atau lusa, kita atau dia akan pergi meninggalkan dunia ini.Apa untungnya yang kita mahu bawa ke alam sana jika terus bermusuhan dan menyombong diri dengan insan lain?

Cukuplah kematian sebagai nasihat yang tidak bersuara untuk sentiasa mengingatkan diriku agar tidak membalas apa jua keburukan insan lain.Hati menjadi lebih lapang dan tenang apabila menyedari dan menyakini hakikat bahawa kehidupan ini akan berakhir pada bila-bila masa yang ditentukan Allah.

" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian, hanya kepada Kami kamu dikembalikan."

Surah Al-Ankabut 29 : Ayat 57

Aku mahu kembali kepada tuhanku tanpa membawa apa-apa permusuhan sesama manusia di dunia ini.Mudah-mudahan DIA mengurniakan pengakhirann yang baik buat aku dan kita semua.
Aamin, Ya Mujib.

SEGALANYA INDAH

HARI PERTAMA SEBAGAI SURI

PELAJARKU ADALAH DUNIAKU

EPISOD BARU KEHIDUPAN

Aku lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Oita, Jepun.Namun,sepanjang pengajian di sana, aku tidak pernah langsung meminati subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang pengajianku itu.Aku sekadar belajar untuk memastikan aku lulus dalam setiap peperiksaan semester.
Alhamdulillah, walaupun tiada minat di situ, aku masih boleh mengikuti pembelajaranku sehingga tamat pengajian.

Sewaktu di sana, aku sangat meminati subjek Bahasa Jepun.Sejak berada di tahun 2 universiti lagi, aku sudah menanam azam untuk menjadi guru selepas tamat pengajianku nanti.Tidak ramai yang menyokong hasratku itu.Namun, aku tetap dengan azamku kerana aku tahu untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik, perlu ada minat yang mendalam dan bukan hanya kelulusan akademik semata-mata.

Tamat pengajian pada Mac 2016, aku pulang ke tanah air.Sementara menunggu peluang untuk menjadi guru, aku sempat bekerja di salah sebuah kilang Jepun di Selangor. Tempoh 10 bulan bekerja di dalam pejabat cukup untuk membuatkan aku semakin menyedari bahawa minatku bukan di situ.Aku memang perlu segera terjun ke dunia pendidikan.

Aku kemudiannya memohon jawatan sebagai Guru Bahasa Jepun di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, Allah Ya Razzaq mempermudahkan jalanku untuk ke bidang ini.Aku ditawarkan bekerja di situ dan  pada April 2017, aku memulakan episod baru kehidupanku sebagai seorang Guru Bahasa Jepun.

Aku sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT ini kerana ia adalah cita-cita yang sangat kuidamkan sejak berada di universiti lagi.
Aku sematkan tekad untuk menjadi pendidik yang terbaik dan melaksanakan amanah Allah ini dengan sebaik mungkin.