Thursday, December 6, 2018

EPISOD BARU KEHIDUPAN

Aku lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Oita, Jepun.Namun,sepanjang pengajian di sana, aku tidak pernah langsung meminati subjek-subjek yang berkaitan dengan bidang pengajianku itu.Aku sekadar belajar untuk memastikan aku lulus dalam setiap peperiksaan semester.
Alhamdulillah, walaupun tiada minat di situ, aku masih boleh mengikuti pembelajaranku sehingga tamat pengajian.

Sewaktu di sana, aku sangat meminati subjek Bahasa Jepun.Sejak berada di tahun 2 universiti lagi, aku sudah menanam azam untuk menjadi guru selepas tamat pengajianku nanti.Tidak ramai yang menyokong hasratku itu.Namun, aku tetap dengan azamku kerana aku tahu untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik, perlu ada minat yang mendalam dan bukan hanya kelulusan akademik semata-mata.

Tamat pengajian pada Mac 2016, aku pulang ke tanah air.Sementara menunggu peluang untuk menjadi guru, aku sempat bekerja di salah sebuah kilang Jepun di Selangor. Tempoh 10 bulan bekerja di dalam pejabat cukup untuk membuatkan aku semakin menyedari bahawa minatku bukan di situ.Aku memang perlu segera terjun ke dunia pendidikan.

Aku kemudiannya memohon jawatan sebagai Guru Bahasa Jepun di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, Allah Ya Razzaq mempermudahkan jalanku untuk ke bidang ini.Aku ditawarkan bekerja di situ dan  pada April 2017, aku memulakan episod baru kehidupanku sebagai seorang Guru Bahasa Jepun.

Aku sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT ini kerana ia adalah cita-cita yang sangat kuidamkan sejak berada di universiti lagi.
Aku sematkan tekad untuk menjadi pendidik yang terbaik dan melaksanakan amanah Allah ini dengan sebaik mungkin.


No comments:

Post a Comment