Saturday, December 1, 2018

AKHIRNYA AKU BERHENTI KERJA.

Jasadku di pejabat.Namun hati dan ingatanku sentiasa terikat kepada anakku, Aisya.Hari semakin hari aku seperti tidak betah meninggalkan anakku di rumah pengasuh.Mungkin kerana setiap hari aku melihat perkembangan tutur katanya yang sudah mula mengambil pengaruh-pengaruh yang aku dan suami tidak begitu selesa mendengarnya.

Suamiku juga kerap termenung di dalam kereta setiap kali meninggalkan anak di rumah pengasuh.
" Abang berat hati sebenarnya mahu tinggalkan anak di dalam jagaan orang lain." katanya.
Walaupun dia tidak pernah meminta aku untuk berhenti kerja, namun ayat itu cukup untuk menggambarkan betapa dia mengharapkan aku sebagai ibu dapat menjaga dan mendidik anak kami sendiri.

Biasanya aku hanya berdiam setiap kali dia menyebut tentang itu.Jujurnya, aku juga ingin menjaga dan mendidik anakku sendiri.Namun,aku takut untuk berhenti kerja mengenangkan komitmen terhadap keluarga di kampung.Aku abaikan perasaan suami walaupun hati aku juga semakin meronta untuk berhenti kerja dan menjaga anakku dengan tanganku sendiri.

Perasaan bersalah terhadap anak dan suami terus menghantui diri sehingga aku sendiri sudah semakin kurang fokus terhadap tugasanku sebagai guru.Aku mulai menghadapi pelbagai masalah di tempat kerja.Satu demi satu cabaran dan ujian di tempat kerja yang cukup berat untuk aku hadapi berlaku seakan tiada henti.

Tiba satu saat di mana aku berdepan dengan satu ujian yang amat berat di tempat kerja hingga aku benar-benar merasakan tempatku bukan lagi di situ walaupun aku sangat cintakan kerjayaku sebagai guru.Aku mengalah dengan keadaan dan mengambil langkah untuk mengundur diri daripada terus berada di situ.

Ya, akhirnya aku berhenti kerja walaupun hatiku belum sepenuhnya bersedia.

No comments:

Post a Comment