Thursday, December 6, 2018

ENGKAU AKAN MATI DAN MEREKA AKAN MATI.

" Sesungguhnya engkau akan mati dan mereka (juga) akan mati."

Surah Az-Zumar 39: Ayat 30.

Ayat ini sentiasa akan menjadi benteng buatku setiap kali duji dengan hubungan sesama manusia.Hidup sebagai manusia biasa, sudah pasti kita tidak lari daripada sebarang konflik atau perselisihan faham mengenai sesuatu perkara.Begitu juga apabila kita kadangkala diuji dengan tingkahlaku orang lain terhadap kita.

Jika dahulu, aku mudah untuk mengikut kata hati.Mudah untuk marah berlama-lamaan atau tidak mahu mengalah jika terjadi sesuatu yang tidak disenangi di antara aku dan orang lain.
Namun, kalam Allah ini sangat memberikan kesan kepada hatiku.

Ia membuatkan aku berfikir, tiada gunanya untuk mengikut kata hati.Tiada manfaatnya untuk terus mengeruhkan hubungan sesama manusia.Hidup di dunia ini hanya sementara dan hanya sekejap cuma.Entah esok atau lusa, kita atau dia akan pergi meninggalkan dunia ini.Apa untungnya yang kita mahu bawa ke alam sana jika terus bermusuhan dan menyombong diri dengan insan lain?

Cukuplah kematian sebagai nasihat yang tidak bersuara untuk sentiasa mengingatkan diriku agar tidak membalas apa jua keburukan insan lain.Hati menjadi lebih lapang dan tenang apabila menyedari dan menyakini hakikat bahawa kehidupan ini akan berakhir pada bila-bila masa yang ditentukan Allah.

" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian, hanya kepada Kami kamu dikembalikan."

Surah Al-Ankabut 29 : Ayat 57

Aku mahu kembali kepada tuhanku tanpa membawa apa-apa permusuhan sesama manusia di dunia ini.Mudah-mudahan DIA mengurniakan pengakhirann yang baik buat aku dan kita semua.
Aamin, Ya Mujib.

No comments:

Post a Comment