Thursday, December 6, 2018

TAWARAN KERJA DARI ALLAH.

8 Januari 2018.
Tarikh keramat di dalam hidupku.

Waktu itu aku sudah bersiap-siap untuk masuk tidur. Tiba-tiba masuk satu pesanan di Whatsapp dari guru Teknik Faham Al-Quran saya, Puan Cahaya.

" Salam puan, saya mahu tawarkan peluang kepada puan untuk berkhidmat bersama Akademi Cahaya. "

Aku membaca ayat itu berkali-kali.Terasa tidak percaya dengan apa yang aku baca.
Benarkan apa yang aku baca ini? Tidak bermimpikah aku? Layakkah aku yang sedang merangkak untuk hidup bersama Al-Quran ini untuk bersama-sama Akademi Cahaya?Mampukah aku?

Ah, banyak benar persoalan yang bermain di fikiranku waktu itu.Hati melonjak-lonjak gembira untuk menerima walaupun bercampur baur kerisauan di dada.Aku nyatakan hal itu kepada suamiku untuk memohon keizinannya.Suamiku memberi keizinan dan turut gembira dengan peluang itu.

Aku tidak ambil masa yang lama untuk memberi jawapan kepada tawaran Puan Cahaya.
Apa lagi yang perlu aku fikirkan apabila ia adalah tugas untuk sama-sama memartabatkan keagungan Al-Quran di dalam kehidupan seramai mungkin masyarakat hari ini?

Sejak mula mempelajari ilmu Faham Al-Quran, memang aku sudah berazam untuk terus akrab dengan Al-Quran sepanjang kehidupanku di dunia ini, InsyaAllah.Aku yakin,berkhidmat di bawah Akademi Cahaya dapat membantu aku untuk terus berusaha istiqamah dengan Al-Quran.

Sungguh, aku merasakan ini benar-benar "tawaran kerja dari Allah" buat diriku melalui Puan Cahaya.
Di saat aku tidak meminta, DIA memberi dengan sifatnya yang Maha Pemurah.
Betapa Allah Maha Baik terhadap hambaNYA ini.
Ia bukan pilihan lagi untuk aku menerima atau menolak, ia adalah perintah yang perlu aku sambut tanpa ragu.

Aku menangis mengenangkan kebaikan Allah terhadapku.
DIA tahu, aku baru saja melepaskan satu pekerjaan sampinganku kerana komitmen masaku terhadap keluarga.Namun, tidak berapa lama saja selepas itu, Allah menghantar tawaran kerja ini kepadaku sebagai ganti yang pastinya jauh lebih baik daripada pekerjaan yang aku lakukan sebelumnya.

Terima kasih Allah untuk rezeki yang tidak ternilai harganya ini.

No comments:

Post a Comment